Hujung minggu adalah masa paling sesuai untuk melakukan aktiviti santai. Memandangkan baju kotor sudah melebihi paras baju bersih, jadi inilah masa yang sesuai untuk aku mendobi. Tiba di tempat dobi aku mula menukar wang kertas kepada syiling dan memasukkan pakaian seperti biasa. Dia ruang menunggu terdapat tiga kumpulan orang yang sedang menunggu. Pakcik tua yang berbaju kuning, amoi yang sedang minum bubble tea dan abang polis yang serius mukanya. Apa yang menarik di sini adalah ketiga-tiganya suka melambai. Sewaktu pak cik berbaju kuning sedang membaca surat khabar sambil menunggu, tak berapa lama dia akan mengangkat tangan lalu melambai. Sewaktu abang polis sedang melihat handphone, tak berapa lama dia akan mengangkat tangan lalu melambai. Amoi yang sedang berborak dengan kawannya, tak berapa lama dia akan mengangkat tangan lalu melambai. Aku yang sedang menunggu agak pelik dengan situasi terjadi.
Tak lama kemudian ketika sedang menunggu di bahagian dryer, kipas di siling mula terhenti. Di situ aku terlihat peranti pengesan pergerakan - motion sensor. Oh! lambaian itu untuk aktifkan kipas dan lampu supaya berfungsi. Aku turut sama mengangkat tangan lalu melambai.
11.5.19
KL Kan : Log 3 - Lambaian peranti pengesan pergerakan
5.5.19
KL Kan : Log 2 - Jemuran ekstrim
Aku pulang lewat malam ditemani derungan angin kencang. Mungkin hendak hujan sebentar lagi. Sebelum memasuki ruang lobi, aku terlihat sebuah unit rumah yang menarik berada di tingkat 5 mungkin? Unit rumah itu menjemur pakaian luaran, dalaman, cadar, selimut dan segala macam jenis kain. Yang menarik adalah dia menjemur jemurannya dengan menyepit penyepit pada semua bilah tingkap nako di rumahnya. Semuanya berkibaran dek angin kencang. Ketika menghala lobi lif, aku terlihat selembar kain putih di atas kepalaku. Aku terus berjalan tidak mengendahkannya.
Keesokan hari ketika lalu di lobi, aku terlihat kain putih semalam. Rupanya penduduk di situ menjemur telekungnya. Ingatkan apa semalam.
1.5.19
KL Kan : Log 1 - Ruang lobi awam tingkat sembilan
Semenjak menjadi arkitek, kesedaran dan kepekaan aku terhadap waktu sangat teruk. Pukul 3 pagi di sangka 11 malam. Di ruang lobi terdapat sebuah keluarga yang ingin naik lif bersama. Aku cam itu akak yang jual nasi lemak di ruang lobi yang sama sekarang ni, cuma pada pukul 7 pagi nanti baru dia jual. Dia sedang mendakap anaknya sambil melayari facebook melihat menu makanan. Suaminya sedang memikul bekas nasi pink untuk dibawa ke atas sambil melihat skor bola sepak eropah. Sewaktu menaiki lif ke tingkat sembilan, anaknya tersedar. Aku senyum pada budak itu tetapi dia mengalih muka ke arah ibunya dan tidur semula. Aku keluar di tingkat sembilan. Sewaktu lif hampir tutup, aku lihat budak tadi menjelir lidah mengejek kepadaku. “Dah mamai pun sempat lagi...” bisik hatiku. Di lobi tingkat sembilan terdapat sedikit kawasan lapang. Aku terlihat sebuah mesin senaman dan beberapa basikal budak. Alat senaman itu untuk perut, sit-up. Bagus juga ada ruang awam dan boleh letak barang untuk kemudahan penduduk bersama. Mungkin nanti ada perpustakaan mini, tikar untuk budak-budak bermain masak-masak ataupun mini garden untuk komuniti tingkat sembilan menanam sayur atau herba di dalam pasu untuk kongsi bersama. Pelbagai benda bergolak di fikiranku yang memikirkan tentang potensi ruang kosong di ruang lobi awam ini.