11.5.19

KL Kan : Log 3 - Lambaian peranti pengesan pergerakan

Hujung minggu adalah masa paling sesuai untuk melakukan aktiviti santai. Memandangkan baju kotor sudah melebihi paras baju bersih, jadi inilah masa yang sesuai untuk aku mendobi. Tiba di tempat dobi aku mula menukar wang kertas kepada syiling dan memasukkan pakaian seperti biasa. Dia ruang menunggu terdapat tiga kumpulan orang yang sedang menunggu. Pakcik tua yang berbaju kuning, amoi yang sedang minum bubble tea dan abang polis yang serius mukanya. Apa yang menarik di sini adalah ketiga-tiganya  suka melambai. Sewaktu pak cik berbaju kuning sedang membaca surat khabar sambil menunggu, tak berapa lama dia akan mengangkat tangan lalu melambai. Sewaktu abang polis sedang melihat handphone, tak berapa lama dia akan mengangkat tangan lalu melambai. Amoi yang sedang berborak dengan kawannya, tak berapa lama dia akan mengangkat tangan lalu melambai. Aku yang sedang menunggu agak pelik dengan situasi terjadi.

Tak lama kemudian ketika sedang menunggu di bahagian dryer, kipas di siling mula terhenti. Di situ aku terlihat peranti pengesan pergerakan - motion sensor. Oh! lambaian itu untuk aktifkan kipas dan lampu supaya berfungsi. Aku turut sama mengangkat tangan lalu melambai.

No comments: